mr.payid menulis "
SAYA ditanya soalan: “Ustaz, syubhahkah menyertai Facebook? Saya terbaca artikel yang menyatakan pemiliknya, Mark Zucherberg menyumbangkan dana melalui penggunaan Facebook ini dari seluruh dunia kepada bangsanya, Yahudi. Mohon penjelasan ustaz?”
Soalan ini terlalu kerap dilontar kepada saya dan begitu banyak juga ditulis oleh pelbagai individu di forum juga blog. Dalam menentukan keputusan dan hukum menyertai Facebook, menurut pendapat saya, ada beberapa isu yang perlu diperhati:
1. Bolehkah menggunakan produk ciptaan Yahudi? Kesimpulannya,
dibenarkan untuk umat Islam membeli, menjual, mengguna pakai produk
ciptaan bukan Islam termasuk Yahudi selagi mana ia dalam ruang lingkup
yang halal. Nabi Muhammad SAW juga diriwayatkan dalam hadis sahih
berurusan dan membuat transaksi jual beli juga cagaran dengan seorang
Yahudi iaitu: “Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan daripada seorang
Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi
baginda.” ( Riwayat al-Bukhari, no 2326, 2/841).
2. Apa maksud penyoal dengan ayat 'menyumbang kepada bangsa Yahudi'?
Jual beli Muslim dengan seorang Yahudi hingga memberikan keuntungan
kewangan kepada dirinya tidak bermasalah sama sekali di sisi Islam,
malah Rasulullah SAW dan sahabat banyak yang berjual beli dengan Yahudi
di Madinah. Cuma persoalannya adakah ia bermaksud menyumbang kepada
keganasan Yahudi Zionis? Sejauh mana kebenaran dakwaan itu? Adakah
sebarang bukti jelas atau hanya bersandarkan kepada latar belakang
peribadi si pengasas?
3. Adakah penyaluran dana kepada individu Yahudi atau khas ditujukan kepada proses penjajahan tanah Palestin?
Begini, jika ternyata daripada sumber yang sahih, jelas lagi pasti,
sesuatu transaksi jual beli kita memberikan keuntungan kepada
organisasi Yahudi yang hasil pendapatannya digunakan untuk proses
penjajahan haram, keganasan dan serangan ke atas umat Islam, barulah
hukum HARUS berubah menjadi HARAM menurut sepakat ulama. Dalam konteks
Facebook, ia masih kekal tidak jelas kerana hampir semua penulisan yang
membantah Facebook tidak menyertakan bukti jelas berkaitan hal itu.
Semuanya membuat andaian itu dan ini sedangkan andaian semata-mata
tidak boleh mengubah hukum asal keharusan kepada haram. Ia sekadar
mengajak kita untuk berhati-hati dan peka. Malah majoriti pengguna
Facebook tidak melakukan sebarang transaksi kewangan dengan syarikat
itu kecuali yang menyertai skim ditawarkan (ini memerlukan perbincangan
berasingan).
Jika ada pula yang mengarahkan saya membuat kajian
dan mencari bukti itu sebelum memberi pandangan berkenaan status hukum,
boleh saya katakan, kajian sudah dibuat dan kami gagal menemui bukti
untuk menyokong andaian pihak yang membuat andaian. Jika dikatakan:
“Bukti bertulis tentulah dirahsiakan oleh pengurusan Facebook dan
mereka memberikan sumbangan secara senyap,” maka jawapannya, Islam
tidak memberatkan kita untuk membuat andaian dalam hal seumpama itu.
Jika andaian sedemikian masih ingin digunakan, kelak ia mengakibatkan
kesukaran berat (mashaqqah) buat seluruh umat Islam pada banyak perkara
juga aktiviti lain.
Ini kerana, larangan dan andaian juga akan
terpakai buat semua penjual bukan Islam iaitu yang beragama Hindu,
Kristian, Buddha dan sebagainya. Penjual terbabit juga boleh diandaikan
menyumbang kepada gerakan melawan Islam secara senyap, akhirnya, kita
terperangkap dengan kekerasan fatwa kita sendiri hingga bermusuh dengan
semua tanpa bukti jelas. Oleh itu, selagi tidak disertakan dan tidak
mampu dihadirkan bukti bertulis, selagi itulah hukumnya adalah HARUS
untuk berjual beli dengan penjual atau syarikat milik Yahudi. Jika
berjual beli pun dibenarkan, apatah lagi sekadar membuka akaun
Facebook. Cuma mungkin keharusan berurusan dengan barangan Yahudi,
boleh menjadi makruh atau syubhah di ketika wujudnya peperangan dan
serangan ke atas umat Islam. Ini memerlukan penelitian satu persatu.
4. Hak peribadi pengguna Facebook dijajah? Ini
mungkin ada benarnya, selepas saya menghabiskan bacaan polisi hak
peribadi yang terkandung di dalam web Facebook, ia memberi gambaran
bahawa gambar, maklumat dan segala yang terkandung di dalam Facebook
kita boleh wujud juga di akaun Facebook orang lain yang dikongsi dan
saya yakin pihak Facebook juga mempunyai simpanan data terbabit.
Walaupun begitu, ia sekali lagi tidak cukup kuat untuk sampai
menjadikan penggunaan Facebook sebagai haram. Apa yang perlu adalah
kawalan dan had
KESIMPULAN Saya tidak berhasrat untuk
menyenaraikan satu persatu baik dan buruk penggunaan Facebook, cuma apa
yang ingin saya nyatakan sebagai kesimpulan adalah seperti berikut:
1.
Hukum membuka akaun dan menggunakan Facebook adalah HARUS selagi tidak
terbukti ia menggunakan pengaruh dan keuntungannya untuk menyerang
Islam atas nama Facebook sama ada melalui dana kepada Yahudi, Amerika
Syarikat dan lainnya.
2. Bagi mereka yang masih tidak selesa
dengan latar belakang pengasas dan syarikat Facebook, mereka
dinasihatkan TIDAK MEMBUKA DAN MENYERTAI FACEBOOK. Mereka boleh terus
memberi nasihat kepada pengguna Facebook supaya sentiasa berhati-hati
namun tidak boleh dengan sewenangnya menuduh pengguna facebook
melakukan perkara haram.
3. Bagi mereka yang ingin mengambil sikap lebih berhati-hati mereka disarankan:
a. Memanipulasi akaun Facebook untuk manfaat Islam melebihi
kepentingan peribadi. Ruang yang ada wajar digunakan untuk mempromosi
kefahaman Islam melalui tulisan, video, audio dan sebagainya.
b. Hadkan dan kurangkan perbincangan soal remeh temeh peribadi yang membuang masa diri dan orang lain.
c.
Tidak sehingga berkongsi terlalu banyak gambar peribadi (khususnya bagi
wanita) sejak zaman kanak-kanak tanpa had kerana ia bakal membawa
mudarat berbanding manfaat, kerana ia akan kekal di Facebook orang yang
dikongsi dan juga syarikat facebook itu sendiri.
d. Tidak
memasukkan perincian peribadi yang sensitif khususnya seperti akaun
bank, taraf kesihatan dan sebagainya. Cukuplah sekadar menyertakan
nama, tarikh lahir dan pendidikan.
e. Tidak terbabit dengan
permainan dan aplikasi yang dijangka bercanggah dengan Islam seperti
kuiz ramalan nasib. Sama ada atas dasar 'main-main' atau sebagainya.
f.
Tidak mempercayai tilik moden seperti rahsia tarikh kelahiran dan
sepertinya yang terkandung dalam aplikasi percuma Facebook. Sama ada
atas dasar 'main-main' atau sebagainya.
g. Menyedari bahawa
maklumat kita di Facebook boleh menjadi pangkalan data pihak asing
untuk memantau kehidupan dan maklumat peribadi kita jika tidak dikawal.
Pangkalan data sebegini sebenarnya amat bernilai dan sukar ada satu
organisasi di dunia ini yang mampu menyimpan maklumat manusia
sebagaimana Facebook. Hatta, parti politik masing-masing pun tidak
mempunyai maklumat ahlinya yang sebegitu terkini sebagaimana Facebook.
Justeru, maklumat sebegini amat banyak gunanya untuk sebarang tujuan
kejahatan dan ketamakan. Jika itu semua dapat dijaga dan disedari, saya
kira mengguna Facebook adalah kekal dalam hukum HARUS atau DIBENARKAN,
malah jika ia lebih banyak digunakan untuk kemaslahatan Islam, ia
DIGALAKKAN. Jika terdapat unsur syubhah sekalipun, ia diatasi oleh
manfaat yang disebarkan melalui Facebook itu. "
|