KANAK-KANAK sering berada dalam situasi yang tertekan untuk berjaya, manakala ibu bapa pula menghadapi tekanan bagi membantu anak-anak mengecapi kejayaan.
Bagi sesetengah orang, kejayaan bermakna keupayaan membantu anak
memahami siapa mereka dan memberi peluang kepada mereka untuk menerokai
minat serta bagaimana bakat serta potensi tersebut dapat diaplikasikan
sepenuhnya.
Itu juga bermakna ibu bapa perlu
ingat bahawa semua kanak-kanak adalah berbeza. Anak hadir dalam
kehidupan ini bersama personaliti yang unik dan tersendiri beserta
kemahiran serta minat berlainan. Ibu bapa perlu membantu setiap anak
mencari dan menemui minat mereka sebagai individu.
Kita
juga boleh membantu anak menjadi lebih berdikari dengan ‘memandu’
mereka membuat keputusan sendiri dengan tepat. Hakikatnya, ibu bapa
tidak akan selama-lamanya berada di sisi anak untuk memberinya panduan
seumur hidup.
Keupayaan berdiri di atas kaki
sendiri ibarat payung yang membolehkan anak mengenali diri dan menerima
diri seadanya. Maksudnya anak menerima kelemahan serta kekuatan diri
dan membina keyakinan untuk membuat pilihan yang tepat.
Mempelajari
cara membuat keputusan yang betul bermakna si anak perlu diberi peluang
untuk mencuba perkara baru dan membenarkan kebebasan dalam genggaman
mereka.
Mendidik anak tentang kemampuan berdikari
juga melibatkan membantu mereka belajar menerima kegagalan dan
kekalahan dalam hidup sebagaimana penerimaan terhadap kejayaan.

|
BERIKAN kata-kata semangat sebagai menghargai usaha anak anda.
|
Saban
kali apabila anak berjaya, kita sering menghadiahkan mereka kata-kata
semangat dan memberitahu betapa bangganya kita dengan kejayaan mereka.
Sementara
kita memuji prestasi mereka, kita juga perlu memastikan anak
benar-benar tahu sejauh mana kita berasa bangga terhadap kejayaan
mereka.
Apabila timbul kegagalan atau kekalahan, kita
patut melakukan perkara yang sama iaitu memberi anak pelukan dan
memberitahu betapa kita menghargai usaha mereka. Kita berada di sisi
anak di saat mereka kecapi kejayaan dan juga kegagalan.
Berkongsi kegagalan anda
Salah
satu jalan terbaik untuk mengajar anak tentang nilai sesebuah kejayaan
atau kegagalan adalah dengan berkongsi pengalaman anda. Misalnya
apabila anak kalah dalam satu pertandingan atau gagal memperoleh markah
memuaskan dalam peperiksaan, anda boleh gunakan kisah lama anda sewaktu
kecundang dalam perlawanan tenis.
Ceritakan kepada anak
bagaimana anda kecundang dalam peringkat akhir perlawanan dan adakah
anda kecewa? Sudah tentu dan inilah yang ingin anak ketahui. Walaupun
begitu, kekalahan ini tidak menghalang anda daripada meneruskan sukan
tenis yang digemari itu.
Anak perlu mengetahui bahawa
kegagalan dan kekalahan adalah sebahagian daripada sesebuah permainan
mahupun perlawanan. Semua orang akan berdepan dengan kemenangan dan
kekalahan dalam sesebuah peringkat kehidupan.
Apa
yang penting adalah anak perlu berasa selesa dengan perspektif dan
realiti hidup bahawa tiada orang yang sempurna di dunia ini. Biarkan
anak tahu bahawa mungkin dengan peluang sekali lagi, dia mampu
memperoleh keputusan atau kemenangan yang lebih baik.
=====================================================================
- Diadaptasikan daripada buku Woman First, Family Always: Real-Life Wisdom from a Mother of Ten oleh Kathryn Sansone. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.babiesonline.com.
=====================================================================