shahray menulis " Membesarkan anak yatim bukan mudah.
ANAK yatim ialah anak kecil yang tidak mempunyai bapa. Maksud tidak mempunyai bapa itu adalah tidak mempunyai bapa yang diketahui menurut syarak. Ia seperti yang dikatakan oleh Al-‘Allamah Al-Fadhil Wa Al-Qudwah Al-Kamil Asy-Syeikh Ibrahim Al-Baijuri.
Berdasarkan takrif itu, Asy-Syeikh Ibrahim Al-Baijuri menggolongkan anak zina, anak yang dinafikan nasabnya dengan li‘an antara suami isteri atau half (sumpah) dan anak pungut sebagai anak yatim.
Had umur anak yatim itu ialah kanak-kanak yang masih belum lagi mencapai had umur baligh sama ada lelaki atau perempuan. Apabila seseorang itu sudah mencapai umur baligh, maka tidaklah lagi dinamakan dia sebagai anak yatim, bahkan mereka dipanggil sebagai orang yang baligh. Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak ada keyatiman apabila telah bermimpi (yakni mencapai umur baligh).” (Hadis riwayat Abu Daud)
Adapun tanda baligh bagi lelaki dan perempuan adalah mencapai umur 15 tahun (Qamariah) atau bermimpi dengan keluar air mani (ketika berumur sembilan tahun Qamariah).
Sementara, tanda baligh bagi perempuan (selain umurnya kira-kira 15 tahun) adalah keluar darah haid iaitu kira-kira berumur sembilan tahun Qamariah.
Orang yang memelihara atau memuliakan anak yatim akan diberkati Allah. Begitu juga sebaliknya.
Satu perkara yang perlu diberi perhatian oleh umat Islam adalah menjaga harta anak yatim. Memakan harta anak yatim secara zalim adalah termasuk dalam dosa besar dan mendapat seksa yang amat pedih.
Firman Allah bermaksud: “Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu akan harta mereka, dan janganlah kamu tukar gantikan yang baik dengan yang buruk, dan janganlah kamu makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) kepada harta kamu kerana sesungguhnya (yang demikian) itu adalah dosa yang besar.” (Surah an-Nisa, ayat 2)
Firman-Nya lagi bermaksud: “Sesungguhnya orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanya menelan api ke dalam perut mereka dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.” (Surah an-Nisa, ayat 10)
Banyak disebutkan dalam hadis terhadap ancaman dan peringatan terhadap orang yang memakan harta anak yatim. Antaranya hadis daripada Abu Dzar bahawa Rasulullah saw bersabda bermaksud: “Wahai Abu Dzar! Sesungguhnya aku lihat kami ini orang yang lemah. Sesungguhnya aku sangat menyayangimu. Janganlah engkau memberikan kepemimpinan kepada dua orang sekali gus dan janganlah engkau membiarkan harta anak yatim dikuasai oleh orang yang tidak bertanggungjawab.” (Hadis riwayat Muslim)
Sabda Baginda lagi daripada Abu Hurairah bahawa Nabi bersabda bermaksud: “Hindarilah tujuh perkara yang merosakkan (dosa besar).”
Mereka berkata: “Apakah dia wahai Rasulullah?
Baginda bersabda: “Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah (membunuhnya) melainkan dengan (jalan) yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), makan riba, makan harta anak yatim, melarikan diri ketika perang dan menuduh (berzina) wanita yang muhshanat (wanita yang menjauhkan perkara dosa) yang beriman lagi tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Haram bagi penjaga memakan harta anak yatim walaupun sedikit, melainkan yang dibenarkan oleh syarak. Firman Allah bermaksud: “Dan sesiapa (antara penjaga harta anak yatim itu) yang kaya, maka hendaklah dia menahan diri (dari memakannya); dan sesiapa yang miskin maka bolehlah dia memakannya dengan cara yang sepatutnya.” (Surah an-Nisa, ayat 6)
Penjaga yang miskin harus mengambil sedikit daripada harta anak yatim itu dengan kadar hajat saja dan janganlah pula melampaui batas.
Bagaimanapun, dalam kitab Ar-Raudah, jika penjaga yang miskin itu mampu setelah mengambil sedikit harta anak yaitm itu, adalah tidak wajib baginya untuk mengganti semula harta anak yatim itu menurut pendapat yang azhar.
Antara istilah berkaitan penjagaan anak yatim ialah kafil bererti orang yang bertanggungjawab mengurus nafkah, pakaian, mengasuh anak yatim dan sebagainya. Wali atau penjaga anak-anak yatim itu hendaklah berlaku adil dan berbuat baik terhadap mereka. Ganjaran bagi orang-orang yang berbuat baik terhadap anak-anak yatim amatlah besar di sisi Allah swt.
Sabda Rasulullah saw yang maksudnya: “Saya dan penjaga anak yatim berada dalam syurga seperti ini, Baginda mengisyaratkan dengan kedudukan jari telunjuk dan jari hantu, dan merenggangkan keduanya sedikit.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)
Sabda Baginda lagi daripada hadis Abu Hurairah katanya yang maksudnya: “Rasulullah saw bersabda: “Penjaga anak yatim daripada kerabat atau bukan kerabatnya, saya dan dia (penjaga itu) seperti dua (jari) ini di dalam syurga. Malik (periwayat hadis) mengisyaratkannya dengan jari telunjuk dan jari hantu.” (Hadis riwayat Muslim)
Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya yang maksudnya: “Nabi saw bersabda: “Sebaik-baik rumah orang Muslim ialah rumah yang ada di dalamnya anak yatim sedang (penjaga itu) berbuat baik kepadanya. Seburuk-buruk rumah orang muslim ialah rumah yang ada di dalamnya anak yatim sedang (penjaga itu) berbuat jahat kepadanya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Mengenai zakat anak yatim yang mempunyai harta sama ada daripada tanam-tanaman, emas dan perak, perniagaan dan binatang adalah wajib bagi penjaga mengendalikan pembayaran zakat daripada harta anak yatim itu. Adapun jika penjaga itu tidak mengeluarkan zakat daripada harta anak yatim, maka wajib bagi anak itu membayarnya sesudah baligh. Akan tetapi berdosa bagi penjaga yang melengahkan pembayaran zakat itu.
Manakala zakat fitrah bagi anak yatim, wajib ke atas penjaga atau penanggung nafkah membayar zakat fitrah untuk anak yatim itu. Penjaga itu menggantikan tempatnya.
Adapun jika anak yatim itu memiliki harta, wajib bagi penjaga mengendalikan pembayaran zakat fitrah daripada harta anak yatim itu.
Berhubung korban dan akikah untuk anak yatim, penjaga anak yatim tidak harus melakukan korban atau akikah dengan menggunakan harta anak yatim. Ini bertujuan untuk mengambil langkah berhati-hati, kerana ditegah bertabarru‘ (sedekah) dengan menggunakan harta anak yatim sedangkan korban itu adalah tabarru‘.
Kita bertanggungjawab mengambil berat terhadap anak yatim lebih-lebih lagi orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga mereka, agar berlaku adil dan sekali-kali jangan melakukan kezaliman terhadap mereka.
Keprihatinan masyarakat terhadap anak yatim wajar dikekalkan agar mendapat ganjaran yang besar daripada Allah swt."
|